Monday, April 16, 2012

Dialek Melayu Brunei lama

Pemahaman dan Penggunaan Dialek Melayu Brunei (DMB) lama di kalangan belia di Negara Brunei Darussalam


1.0     PENDAHULUAN
Dialek Melayu Brunei (DMB) telah lama wujud dan digunakan oleh masyarakat di Brunei. Dialek Melayu Brunei dijadikan bahasa perantaraan terutama di kalangan pedagang-pedagang dalam dan luar negeri. Pedagang-pedagang luar yang datang ke Brunei menggunakan bahasa dan dialek tempatan untuk berkomunikasi dengan pedagang-pedagang tempatan bagi menjalankan proses perdagangan mereka. Menurut Hajah Dayang Fatimah Haji Awang Chuchu (2005: 1):
                               Dialek Melayu Brunei menjadi identiti dan penanda
                       solidariti masyarakat Melayu Brunei. Ini dibuktikan oleh
                       peranan Dialek Melayu Brunei itu sendiri sebagai lingua
                       franca antara etnik.

        Konteks di atas menjelaskan bahawa DMB berperanan menjadi lambang dan wajah kepada pembentukan masyarakat Melayu Brunei. DMB lebih memperlihatkan adat, budaya, bahasa, sifat, tingkah laku dan kehidupan orang-orang Brunei. Selain daripada itu, DMB juga turut berperanan sebagai lingua franca antara etnik kerana penggunaannya lebih tinggi daripada dialek-dialek lain yang terdapat di Negara Brunei Darussalam. Oleh yang demikian, disebabkan dua peranan ini, DMB memperlihatkan kepentingan yang utama bagi mengekspresikan pembentukan masyarakat dan negara Brunei.

        Dialek Melayu Brunei mempunyai kedudukan yang istimewa di antara dialek-dialek yang terdapat di Negara Brunei Darussalam. Terdapat tiga faktor yang telah menyebabkan DMB berada di kedudukan istimewa, iaitu dari segi perangkaan, sejarah dan pengaruhnya di negara ini. Dari segi perangkaan, DMB menunjukkan bahawa dialek ini dapat difahami oleh semua penduduk di keempat-empat daerah di Brunei.  Manakala dari segi sejarah, banyak di antara perbendaharaan kata DMB telah digunakan di dalam sejarah kesusteraan Brunei, syair-syair lama dan cerita-cerita lisan. Sementara itu, dari segi pengaruh pula, DMB dikatakan sangat mempengaruhi pendatang-pendatang asing sehingga mereka terpaksa menguasai dialek ini bagi tujuan berkomunikasi dengan penduduk tempatan.

      Menyentuh tentang golongan belia pula, belia ialah pemangkin aset utama negara dalam segala hal seperti ekonomi, sosial, politik, pendidikan, pentadbiran, perdagangan, bahasa, budaya dan sebagainya. Belia diibaratkan sebagai tabung wang yang kosong, namun apabila diisi dengan wang-wang kertas atau syiling, akan menghasilkan simpanan yang bermanfaat kepada masyarakat. Ini bermaksud para belia harus diberi didikan dan penerapan yang betul tentang adat, budaya dan bahasa yang melambangkan identiti negara kita. Belia adalah pemercu masa hadapan yang berperanan mengembang-majukan negara dan bangsa. Oleh itu, penerapan adat, budaya, agama dan bahasa dalam diri belia adalah perlu agar identiti negara dapat dikekalkan dan diteruskan sampai bila-bila.

Dalam kajian ini, hipotesis pengkaji mengandaikan bahawa penggunaan DMB lama di kalangan belia semakin berkurangan atau tidak dituturkan langsung. Dalam “DMB lama”, kata “lama” yang dimaksudkan dapat difahamkan sebagai kata-kata yang pernah dituturkan pada masa dulu dan jarang atau tidak lagi digunakan pada masa ini. Hal berkenaan dengan kurangnya penggunaan DMB lama di kalangan belia ini kemungkinan ada kaitannya dengan aspek pemodenan yang kian berkembang pada masa kini. Aspek pemodenan ini telah merangkumi dalam segala bidang termasuk lingkungan bahasa dan dialek. Namun hal ini hanyalah spekulasi pengkaji bagi menjawab andaian yang dinyatakan.

Dalam kajian ini, pengkaji akan menerbitkan faktor-faktor sebab kurangnya penggunaan atau penerapan DMB lama di kalangan belia ini dengan menggunakan hasil data-data daripada kertas kaji soal selidik.

1.1     PERMASALAHAN KAJIAN
Dalam hipotesis tadi ada menyatakan andaian bahawa penggunaan DMB lama semakin berkurangan di kalangan belia. Oleh itu, pengkaji telah menerbitkan dua permasalahan kajian yang berkaitan dengan hipotesis itu tadi. Pertama ialah sejauhmana pengetahuan belia di Negara Brunei Darussalam terhadap penggunaan  DMB lama. Manakala yang kedua, adakah penggunaan DMB lama semakin pupus di kalangan belia pada masa ini?

1.2     TUJUAN KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk meninjau tahap pemahaman dan penggunaan Dialek Melayu Brunei (DMB) lama di kalangan belia di Negara Brunei Darussalam. Kajian dijalankan dengan mengenal pasti setakat mana para belia Brunei mampu memahami atau menuturkan dialek-dialek lama tersebut.

1.3     METODOLOGI KAJIAN
Dalam kertas kerja ini, pengkaji hanya menggunakan dua jenis metodologi kajian iaitu metode berbentuk soal kaji selidik dan sekunder.

Metode yang pertama ialah menggunakan sumber sekunder iaitu dengan merujuk daripada buku-buku, artikel dan kamus. Sumber ini digunakan untuk memperolehi dan mengetahui makna sebenar bagi daftar kata yang telah dipilih.

Kedua ialah dengan pengedaran kertas kaji selidik. Ia boleh dirujuk pada link ini. Secara umumnya, kertas kaji selidik tersebut terbahagi kepada tiga bahagian iaitu butiran peribadi, daftar kata dan pendapat peribadi terhadap kajian yang dijalankan. Sebanyak 50 daftar kata Dialek Melayu Brunei lama telah disenaraikan (Rujuk pada link ini untuk mengetahui maknanya). Juga pengedaran kertas kaji selidik hanya akan diberi pada golongan belia sahaja bersesuaian dengan tajuk yang dipilih. Tambahan, pengedaran juga turut diedarkan dengan menggunakan teknologi internet iaitu menerusi laman web Facebook dan penghantaran emel.

1.4     TINJAUAN LITERATUR
Dalam artikel yang bertajuk Peranan Dialek dalam Modenisasi Bahasa yang dipetik dari Bahana, Jilid. 7, bilangan: 19, keluaran Julai-September, 1972, menyatakan berdasar dari fakta-fakta sejarah dan batasan geografi empat daerah yang terdapat di negara Brunei Darussalam mempunyai dialek, idiolek dan pelat bahasa berbeza-beza. Artikel ini juga menjelaskan bahawa dialek sebagai kelainan bahasa dan bukannya sebagai bahasa standard. Artikel ini juga menyatakan jika selalunya dialek dapat ditentukan melalui batasan daerah berlainan pula dengan keadaan di negara Brunei Darussalam. Hanya daerah Tutong sahaja yang wujud di dalamnya dialek iaitu dialek Tutong.

Di samping itu, artikel ini juga memberi perbezaan penggunaan DMB pada zaman dahulu dan zaman sekarang. Jika dahulu sangat jarang DMB diselitkan dalam ucapan formal atau tidak formal. Berlainan pula dengan zaman sekarang DMB sering kali diselitkan dalam mana-mana ucapan formal atau tidak formal. Selain itu pihak media massa dan media cetak juga memainkan peranan penting dalam mempopularkan DMB.

Menurut Haji Jaludin bin Haji Chuchu (hlm 388),  dalam artikel beliau yang bertajuk “Keperkasaan Dialek Melayu Brunei: Realiti atau hayalan” bahawa terdapatnya enam buah bahasa Austronesia yang digunakan oleh masyarakat Brunei iaitu bahasa Belait, Tutong, Kedayan-Brunei, Murut, Bisaya-Dusun dan Iban. Juga dinyatakan terdapat bahasa-bahasa non-Austronesia seperti bahasa Cina, Inggeris, Tamil, Arab dan sebagainya. Menurut Martin (1991: 66) dalam artikel Hj. Jaludin Hj. Chuchu (hlm. 388), sebahagian besar penduduk Brunei ini iaitu sebanyak 90% penduduk menggunakan Dialek Melayu Brunei. Manakala menurut Nothofer (1991) dalam artikel Hj. Jaludin Hj. Chuchu, menyatakan dialek Melayu Brunei yang digunakan itu meliputi bahasa Melayu standard, bahasa Melayu Brunei, dialek Kampung Ayer dan dialek Kedayan. Hj. Jaludin Hj. Chuchu (hlm. 389)  menjelaskan bahawa kebanyakan penutur dialek Melayu Brunei itu ditemui di kawasan pinggir pantai dan sepanjang sungai Brunei.

Artikel “Keperkasaan Dialek Melayu Brunei: Realiti atau Khayalan” ini telah membantu untuk membuat kajian tentang penggunaan dan pemahaman dialek Melayu Brunei lama di kalangan belia. Sebagaimana Martin (1991) telah menyatakan bahawa sebanyak 90% penduduk Brunei menggunakan dialek Melayu Brunei. Namun adakah belia pada zaman ini masih menggunakan dialek Melayu Brunei sebagai bahasa pertuturan mereka seharian atau hanya golongan orang tua yang mengekalkan penggunaan dialek Melayu Brunei lama. 

2.0     ANALISIS DATA
Pembahagian analisis data yang disenaraikan di bawah adalah mengikut susunan bahagian-bahagian yang tersedia dalam soalan kaji selidik.

         2.0.1     ANALISIS DATA BAHAGIAN A
Seramai 100 orang responden yang diperlukan untuk menjawab kertas kaji selidik yang telah disediakan. Responden yang dikehendaki mestilah terdiri daripada golongan belia sahaja iaitu yang berusia sekitar 15 hingga 35 tahun. Responden yang diperlukan juga haruslah berkerakyatan Brunei dan tidak tertakluk pada latar belakang bangsa mereka. Sebahagian besar responden yang diperolehi adalah berbangsa Melayu dan selebihnya adalah berbangsa Dusun dan Cina (sila rujuk carta pai di bawah):

Rajah 2.1: Jumlah Responden Berdasarkan Bangsa
(klik sini untuk melihat rajah besaiz besar)


Berdasarkan pengedaran kertas kaji selidik tersebut, pengkaji telah menerima seramai 32 responden yang terdiri daripada golongan lelaki dan 68 responden terdiri daripada golongan perempuan. Berkenaan dengan jumlah-jumlah responden berdasarkan umur boleh dirujuk pada gambar rajah di bawah:

Rajah 2.2: Jumlah Responden Berdasarkan Umur
                                  (klik sini untuk melihat rajah besaiz besar)
Majoriti responden adalah berumur 23 tahun dan 24 tahun iaitu sebanyak 19 orang untuk kedua-dua kategori umur tersebut. Seramai 13 orang responden terdiri daripada belia yang berumur 22 tahun. 11 orang responden pula berumur 25 tahun. Responden yang berumur 20 tahun, 21 tahun dan 26 tahun terdiri seramai enam orang. Bagi responden yang berumur 15 tahun dan 28 tahun terdapat seramai 4 orang. Tiga orang responden dalam lingkungan umur 27 tahun. Responden yang berusia 16 tahun dan 29 tahun didapati seramai dua orang. Seorang responden sahaja yang diperolehi untuk responden-responden yang terdiri dalam kategori 18 tahun, 30 tahun, 32 tahun, 34 tahun dan 35 tahun. Pengkaji tidak memperolehi responden-responden yang berusia 17 tahun, 19 tahun dan 31 tahun.
     
     Setiap responden yang diperolehi dipercayai mempunyai latar belakang pengetahuan mengenai DMB ini. Namun terdapat beberapa responden mengalami kesukaran dalam menjawab senarai kata-kata DMB lama yang telah disediakan.
          
          2.0.2     ANALISIS DATA BAHAGIAN B
Sebanyak 50 soalan di dalam bahagian B telah diberikan kepada responden untuk dijawab sejauh mana mereka memahami DMB lama. Mereka telah diarahkan untuk memberikan  makna DMB lama dalam BMS atau DMB itu.

        Hasil daripada dapatan yang diperolehi pengkaji di dalam bahagian ini, ternyata ada juga di antara mereka yang menggunakan bahasa Inggeris bagi menerangkan maksud DMB lama tersebut, contohnya 'gustan' maksudnya reverse. Hal ini menunjukkan bahawa ada di antara responden ini lebih memahami maksud 'gustan' dalam bahasa Inggeris berbanding dengan maksud dalam BMS atau DMB. Sementara itu ada juga di antara responden yang keliru iaitu dari segi soalan yang diberikan. Hal ini mungkin disebabkan responden tidak terbiasa membaca dialek DMB lama dalam keadaan yang bercetak, mereka hanya pernah mendengar atau menggunanya secara lisan sahaja. Oleh sebab itu, timbul kekeliruan di kalangan responden ini apabila mereka membaca DMB lama dalam bahan yang bercetak contohnya seperti 'nyanya', ada di antara mereka menyangka bahawa jawapan soalan tersebut adalah bagi soalan 'nyanyah', 'nyaya' dan 'ganya'.

Di samping itu, reponden juga keliru dalam memberikan makna yang betul bagi penggunaan kata kerja bagi DMB lama yang disenaraikan contohnya ‘daup’. Ramai di kalangan responden mengetahui perbuatan ‘daup’ adalah perbuatan yang menyakiti orang lain dengan menggunakan anggota badan. Namun mereka keliru sama ada perbuatan ‘daup’ menggunakan tangan atau kaki untuk menyakiti pihak lawannya. Ada di antara yang menjawab ‘daup’ bermaksud tendang, tampar, sepak dan banyak lagi yang  sinonim dengan perbuatan yang melibatkan kaki atau tangan untuk memukul orang. Malah ada juga di antara responden yang gagal menjawab sesetengah kata DMB lama yang telah disenaraikan oleh pengkaji.



          2.0.2.1     ANALISIS DATA BAGI DMB LAMA BERDASARKAN UMUR RESPONDEN

Jadual 2.1: Jumlah Perkataan yang Dijawab Berdasarkan Umur
(klik sini untuk melihat jadual besaiz besar)
Hasil daripada dapatan yang diperolehi menunjukkan bahawa responden yang berusia 15-20 tahun telah berjaya menjawab sekitar 18-43 kata DMB lama. Hal ini menunjukkan bahawa responden yang berusia belasan tahun masih mengetahui DMB lama dan hal ini juga membuktikan bahawa DMB lama masih lagi digunapakaikan oleh belia yang berusia belasan tahun. Sementara itu bagi reponden yang berusia 21-25 tahun iaitu seramai 67 orang telah berjaya menjawab sekitar 3–45 daripada 50 kata DMB lama. Manakala responden yang berusia sekitar 26–30 tahun hanya mampu menjawab sekitar 15–44 daripada 50 kata DMB lama yang diberikan kepada mereka. Sekitar 25-39 kata DMB lama telah berjaya dijawab oleh  responden yang berusia 31-35 tahun.

Secara ringkasnya, tidak ada di antara responden-responden ini dapat menjawab kesemua 50 soalan yang diberikan dalam bahagian B dengan betul. Jumlah yang tertinggi yang diperolehi oleh responden dalam bahagian B adalah sebanyak 45 sahaja.

          2.0.2.2     ANALISIS DATA BAGI SETIAP KATA DMB LAMA

Rajah 2.3: Jumlah Jawapan Responden bagi Setiap Kata
(klik sini untuk melihat rajah besaiz besar)
Rajah di atas menunjukkan jumlah jawapan yang betul dijawab oleh responden bagi setiap kata DMB lama yang telah dipilih oleh pengkaji berdasarkan pegetahuan dan penggunaannya dalam komunikasi responden seharian. Responden telah diarahkan untuk memberi makna bagi setiap 50 kata DMB lama yang mereka ketahui ke dalam BMS atau makna yang sinonim dengan DMB yang selalu digunakan pada masa ini. Hasil daripada dapatan kaji selidik yang dilakukan, pengkaji telah membahagikan 5 kategori responden berdasarkan jawapan yang telah berjaya dijawab oleh responden. Kategori pertama adalah bagi kata DMB lama yang berjaya dijawab oleh 0-20 orang responden. Kemudian diikuti sebanyak 21-40, 41-60, 61-80 dan 81-100 orang responden yang berjaya memberi makna yang betul bagi DMB lama yang telah disenaraikan oleh pengkaji.

Jadual 2.2: 0-20 Orang Responden bagi Setiap Jawapan
(klik sini untuk melihat jadual besaiz besar)
        Hasil daripada pengkategorian di atas, sebanyak 9 kata DMB lama telah berjaya dijawab dalam kategori ini. Hanya DMB lama bagi kata ‘kujang’ sahaja yang gagal dijawab oleh kesemua responden. Ini menunjukkan bahawa kata kujang sama sekali tidak lagi digunakan oleh belia khususnya para responden. Berdasarkan analisis yang dibuat oleh pengkaji, 10 kata yang terdapat dalam jadual di atas menunjukkan bahawa penggunaanya amat jarang digunakan oleh responden kerana lebih 80 orang responden tidak mengetahui makna bagi DMB lama ini.


Jadual 2.3: 21-40 Orang Responden bagi Setiap Kata
(klik sini untuk melihat jadual besaiz besar)
        Jadual di atas menunjukkan bahawa setiap 10 kata DMB lama telah berjaya dijawab oleh 21-40 orang responden. Sebanyak 35% daripada responden telah berjaya menjawab dengan tepat kata DMB lama bagi ‘barakan’, ‘menala’, dan ‘ambau’. Manakala 36% bagi kata  ‘daming’ dan sigau’ telah berjaya dijawab oleh responden. Begitu juga dengan kata ‘impa’, ‘samal’, ‘cus’, ‘cacap’ dan ‘kunyam’, semua kata ini dapat dijawab dengan tepat oleh 21-40 orang responden. Hal ini menunjukkan bahawa kurang daripada separuh responden tidak mengetahui 10 kata DMB lama yang terdapat dalam jadual di atas.


Jadual 2.4: 41-60 Orang Responden bagi Setiap Kata
(klik sini untuk melihat jadual besaiz besar)
        Sebanyak 9 kata sahaja yang berjaya dijawab oleh 41-60 orang responden. 41% daripada responden telah berjaya menjawab kata ‘saraung’ dengan tepat. Manakala 48 daripada 100 orang responden dapat menjawab ‘daup’ dan ‘taing-taing'. Sementara ‘badung’ 47% responden, ‘basing’ 55% responden, ‘mumut’ 56%, ‘cuik’ 57%, ’janggai’ 58% dan ‘inggan’ 59% responden berjaya menjawab setiap kata tersebut. Jumlah peratusan ini menunjukkan bahawa 9 kata DMB lama dalam jadual 3 hanya jarang digunakan oleh belia khususnya responden.


Jadual 2.5: 61-80 Orang Responden bagi Setiap Kata
(klik sini untuk melihat jadual besaiz besar)
        Berdasarkan kedudukan yang tertinggi bagi kategori ini (Jadual 2.5) menunjukkan bahawa kata ‘uar’ (80%) sering digunakan oleh responden. Manakala ‘kiak-kiak’, ‘bibit’, ‘mengambak’ dan ‘pungut’ menunjukkan jumlah peratusan sekitar 62-69%  daripada responden memahami kata tersebut. Sementara 70% daripada responden dapat menjawab dan memahami kata ‘sagai’ dan ‘putut’. Selebihnya kata ‘memurancah’, tihi’, ‘ajai’, ‘laboi’ dan ‘latuk’ hanya digunakan dan difahami maknanya oleh 72-79 orang responden sahaja.


Jadual 2.6: 81-100 Orang Responden bagi Setiap Kata
(klik sini untuk melihat jadual besaiz besar)
        Hasil dapatan data bagi kaji selidik menunjukkan bahawa jadual di atas merupakan kumpulan jumlah kata DMB lama yang tertinggi yang berjaya dijawab oleh responden. Majoriti (93%)  daripada responden dapat menjawab maksud kata ‘biut’ dengan tepat dan hanya 7 orang responden sahaja yang gagal menjawab dengan tepat maksud bagi kata ini. Manakala kata ‘kudut’ (87%), ‘memapak’ (81%), dan ‘uyung’ (82%) juga berjaya dijawab dengan betul oleh kebanyakan responden. Sementara 84% daripada responden telah berjaya menjawab dengan tepat maksud kata bagi DMB lama iaitu ‘gagau’, ‘juir-juir’, ‘tampik’ dan ‘gustan'. Hal ini menunjukkan bahawa 8 kata DMB lama ini selalu digunakan oleh responden kerana lebih separuh daripada 100 orang responden dapat menjawab makna bagi kata DMB lama ini.

        Secara keseluruhannya, jadual 2 hingga 4 boleh dianggap sebagai DMB lama yang kian pupus disebabkan purata penggunaannya agak kecil iaitu sekitar 0-60% sahaja berbanding kata DMB lama yang terdapat di dalam jadual 5 dan 6 iaitu lebih dari separuh daripada 100 orang responden yang telah dipilih secara rawak berjaya menjawab dengan tepat makna bagi setiap kata dialek ini.

          2.0.3     ANALISIS DATA BAHAGIAN C
Rajah 2.4: Kekerapan Penggunaan DMB
(klik sini untuk melihat rajah besaiz besar)
Rajah di atas menunjukkan kekerapan responden menggunakan DMB pada bahagian B dalam komunikasi seharian mereka. Berdasarkan daripada peratusan yang tertera pada rajah, majoriti responden kadang kala menggunakan DMB (bahagian B). Mereka hanya menggunakan daftar kata-daftar kata yang sering mereka dengar dan sering diungkapkan oleh masyarakat di sekeliling mereka. Selain itu, mereka juga lebih selesa menggunakan Bahasa Melayu Standard (BMS) dan bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian mereka berbanding dengan DMB.
     
       Berdasarkan daripada kajian yang dijalankan sebanyak 2% daripada responden menggunakan DMB jika perlu sahaja. Terutamanya mereka menggunakan leksikal DMB untuk tujuan menerangkan sesuatu perkataan yang kurang dipahami dalam bahasa-bahasa lain. Oleh itu dengan menggunakan leksikal DMB ini mungkin akan membantu dalam memahami perkataan yang diperkatakan semasa berkomunikasi.
       
       Menurut beberapa orang responden, mereka tidak pernah menggunakan DMB dalam kehidupan seharian mereka. Ini disebabkan mereka tidak terdedah dengan dialek tersebut. Tambahan lagi  daftar kata yang disenaraikan dalam kaji selidik kebanyakkannya tidak lagi digunakan pada zaman sekarang. Seperti ‘kujang-kujang’ bererti berlari tanpa hala kerana terkejut, ‘paung’ bererti benjol dan beberapa perkataan yang lain.
       
      Selain itu mereka lebih terdorong untuk menggunakan dialek-dialek yang dituturkan di dalam komuniti mereka. Seperti, dialek kedayan, dialek Tutong, dialek Belait, dialek Dusun dan sebaginya. Ini kerana dialek-dialek tersebut boleh dianggap sebagai  bahasa ibunda bagi mereka.
     
      Justeru itu dapat dikatakan bahawa hanya sebilangan kecil daripada responden menggunakan DMB sebagai komunikasi seharian mereka.


Rajah 2.5: Tahap Kefahaman Terhadap DMB
(klik sini untuk melihat rajah besaiz besar)
Tahap kefahaman responden terhadap DMB boleh dilihat melalui seberapa kerap penggunaan DMB dalam komunikasi mereka. Berdasarkan dari kaji selidik yang telah dijalankan (rajah di atas), lebih daripada separuh responden faham akan daftar kata DMB yang telah diberikan. Ini kerana mereka sering menggunakan kosa kata-kosa kata tersebut dalam komunikasi mereka. Walau bagaimanapun, hanya beberapa orang responden sahaja yang sangat faham akan makna DMB lama ini.

        Manakala kurang daripada 20%  hanya memahami sebahagian dari daftar kata tersebut (bahagian B). Ada juga di antara mereka memahaminya akan tetapi sukar untuk menjelaskan setiap kosa kata tersebut. Ada di kalangan responden memberikan makna DMB yang diberikan menggunakan bahasa Inggeris dan ada juga yang menerangkannya dalam bentuk contoh.

     Kurangnya pemahaman responden terhadap DMB antara lain disebabkan kekeliruan terhadap perkataan yang diberikan.  Kekeliruan ini timbul apabila suatu kosa  kata DMB itu ada terdapat dalam BMS tetapi mempunyai makna yang berlainan. Misalnya, perkataan ‘mambang’ dalam konteks DMB menurut Kamus Bahasa Melayu Brunei, 2007:210). bermaksud sakit pada badan akibat keletihan berjalan atau bekerja, rosak atau hancur isi di dalam (bagi buah-buahan) dan bengkak atau lebam. Manakala dalam BMS mambang bermaksud hantu (Kamus Dewan, 2010:989). Responden lebih memahami perkataan mambang dalam BMS berbanding DMB. Ini mungkin kerana responden boleh dikatakan terpengaruh dengan penggunaan ‘mambangdalam filem Seniman Bujang Lapok.

   Berdasarkan pandangan responden, beberapa hipotesis mengenai kekerapan penggunaan DMB dan tahap kefahaman belia Brunei terhadap DMB telah disimpulkan:
  • Pertama, kekerapan penggunaan DMB dalam komunikasi seharian akan memantapkan lagi kefahaman belia terhadap DMB.
  • Kedua, jika ada perkataan yang sukar untuk mereka ungkapkan dalam BMS lazimnya mereka akan menggantikannya dengan DMB.
  • Ketiga, tahap kefahaman belia  tentang DMB akan terjejas apabila mereka mengalami kekeliruan tentang makna DMB. Kekeliruan ini terjadi apabila DMB dan BMS mempunyai perkataan yang sama tapi makna yang lain. Hal ini menyukarkan belia untuk membezakan antara BMS dan DMB. Seperti perkataan ‘mambang’.


Rajah 2.6: Penggunaan DMB Semakin Berkurangan di Kalangan Belia Brunei
(klik sini untuk melihat rajah besaiz besar)
      Kebanyakan daripada responden, iaitu sejumlah 94 peratus daripada mereka berpendapat bahawa Dialek Melayu Brunei (DMB) lama semakin kurang digunakan di kalangan belia-belia Brunei pada masa kini. Manakala, terdapat juga sebahagian kecil dari mereka, iaitu sebanyak 6 peratus daripada responden kurang bersetuju dengan pendapat tersebut. 

Kelainan pemikiran ini adalah disebabkan pendirian peribadi masing-masing. Bagi mereka yang berpendapat bahawa penggunaan Dialek Melayu Brunei lama masih dipraktikkan di kalangan belia Brunei, alasan utama mereka ialah dialek ini masih lagi dituturkan dalam situasi tidak formal seperti di rumah, berbual dengan teman-teman dan sebagainya.

Selain dari itu juga, responden lain berpendapat bahawa tidak semua dialek tersebut ditelan arus zaman kerana terdapat beberapa dialek yang masih lagi digunakan, malahan telah diangkat martabatnya dan distandardisasikan menjadi sebahagian dari Bahasa Melayu Standard. Sebagai contoh, antara dialek Brunei yang telah distandardisasikan ialah awar galat, digalati, ditanai, dikelinga dan sebagainya.

Tujuan menstandardisasikan dialek-dialek tersebut adalah kerana tidak terdapat kata lain dalam Bahasa Melayu Standard yang dapat mengungkapkan makna kata seperti apa yang dimaksudkan oleh dialek tersebut.


3.0     FAKTOR PENYEBAB KURANGNYA PENGGUNAAN DAN PEMAHAMAN DMB
Setelah penelitian secara terperinci dilakukan terhadap alasan-alasan yang diutarakan oleh para responden yang bersetuju bahawa Dialek Melayu Brunei lama semakin kurang dipraktikkan oleh belia Brunei, pengkaji mendapati bahawa terdapat tiga faktor utama yang mendorong kepada kurangnya penggunaan dan pemahaman Dialek Melayu Brunei lama di kalangan para belia Brunei. Ketiga-tiga faktor tersebut ialah kurangnya pendedahan dan penerapan dialek tersebut, peningkatan terhadap taraf pendidikan negara dan yang terakhir ialah faktor pemodenan di kalangan masyarakat. Setiap faktor yang telah disenaraikan di atas akan diterangkan dengan lebih terperinci satu demi satu.

      Faktor pertama ialah kerana kurangnya pendedahan dan penerapan Dialek Melayu Brunei lama terhadap para belia di Brunei. Generasi lama seperti datuk, nenek dan ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memastikan dialek Brunei tidak akan pernah pupus ditelan zaman. Kebanyakan dari para responden menyatakan bahawa mereka tidak didedahkan sepenuhnya dengan dialek-dialek ini. Mereka tidak diajar dan para ibu bapa pula tidak begitu berminat untuk mengajar anak-anak mereka. Hanya golongan warga tua sahaja yang sering bertutur dengan anak-anak muda atau cucu mereka dengan menggunakan Dialek Melayu Brunei lama. Tetapi sayangnya, lazim dalam kehidupan bahawa golongan belia hanya akan berjumpa dengan nenek-nenek mereka mungkin sekali dalam sebulan, dua kali dalam setahun, atau mungkin juga lebih dari itu. Hal ini terjadi jika mereka tinggal di tempat yang berasingan.

Kebanyakan ibu bapa juga tidak mengutamakan pengajaran Dialek Melayu Brunei lama terhadap anak-anak mereka. Ini kerana ibu bapa khuatir jika anak-anak mereka tidak begitu fasih dalam berkomunikasi menggunakan Bahasa Melayu Standard dan ditakuti akan memberi kesan buruk terhadap prestasi mereka di sekolah. Tambahan pula, jika ibu bapa turut sama berpendidikan tinggi, setentunya mereka juga turut mengikuti arus perkembangan zaman yang moden. Hasilnya, mereka kurang memberi perhatian terhadap dialek-dialek Brunei yang lama dan lebih mementingkan bahasa-bahasa pendidikan seperti bahasa Inggeris dan bahasa Melayu Standard.


      Selain daripada itu, belia juga lebih terdedah dengan dialek yang dituturkan oleh generasi tua di kawasan mereka. Contohnya, belia Daerah Tutong lebih terdedah dengan dialek Tutong yang dituturkan oleh ibu bapa mereka, walaupun dialek Tutong ada yang hampir sama dengan Dialek Melayu Brunei, tetapi tetap ada juga sedikit perbezaan antara keduanya. Jadi bolehlah dikatakan bahawa setiap golongan yang tertentu itu lebih banyak menggunakan dialek mereka masing-masing. Akibat dari itu, Dialek Melayu Brunei lama tidak lagi ataupun jarang sekali dipraktikkan sebagai bahasa harian di rumah atau di tempat-tempat umum.

Kesan daripada kurangnya pendedahan Dialek Melayu Brunei lama terhadap para belia, mereka mungkin tahu apa yang dimaksudkan oleh penutur, tetapi tidak pula tahu cara untuk menerangkan maksud perkataan-perkataan tersebut. Atau mungkin juga para belia langsung tidak tahu maksud dialek Brunei yang dituturkan terhadap mereka. Jika ini berterusan, tidak mustahil bahawa pengetahuan tentang Dialek Melayu Brunei lama akan terhakis sedikit demi sedikit dan apabila tiba masanya, generasi baru mungkin tidak lagi mengenali dialek natif mereka sendiri.

Faktor yang kedua tentang mengapa belia jarang menggunakan Dialek Melayu Brunei lama ketika berkomunikasi ialah disebabkan elemen pendidikan masa kini. Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 atau lebih dikenali sebagai SPN-21 telah membawa perubahan besar dalam pendidikan di Negara Brunei Darussalam. Ini termasuklah meningkatnya cabaran dalam pengetahuan bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu Standard. Kesan daripada ini, timbulnya aspek bilingualisme dalam diri anak-anak muda. Belia lebih gemar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu Standard dibandingkan dengan Dialek Melayu Brunei lama kerana ia lebih kukuh dan mudah difahami di kalangan belia. Lagi pula, sebahagian besar dialek-dialek Brunei tidak begitu formal untuk digunakan dalam mesyuarat-mesyuarat, perjumpaan-perjumpaan penting dan sebagainya.
        
     Memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di Brunei, ditambah lagi bahasa pengantar yang penting ialah bahasa Melayu dan Inggeris, maka peluang untuk memperkembangkan pengetahuan mengenai Dialek Melayu Brunei lama di sekolah-sekolah adalah amat tipis. Masa pembelajaran di setiap sekolah amat singkat, jadi tidak ada masa untuk menyelitkan pembelajaran dialek lama ini dalam jadual harian. Dengan ini, jelas bahawa Dialek Melayu Brunei lama kurang diberi perhatian dalam pembelajaran sehari-hari.

Menyentuh tentang keanekaan dalam berbahasa, Universiti Brunei Darussalam ada menawarkan pelbagai jurusan kebahasaan, seperti bahasa Mandarin, Sepanyol, Arab dan sebagainya. Memandangkan bahasa-bahasa asing ini semakin popular di kalangan belia, ditambah pula dengan keanekaan bahasa yang ditawarkan di Universiti Brunei Darussalam, jadi tidak hairanlah Dialek Melayu Brunei lama menjadi semakin tidak penting pada pandangan umum. Belia masa kini hanya berlumba-lumba untuk mendalami bahasa-bahasa lain atas faktor minat, rasa ingin tahu dan mempelajari sebanyak bahasa yang boleh bagi menaikkan taraf hidup masing-masing.

Walau bagaimanapun, tidak semua Dialek Melayu Brunei lama itu dilihat tidak penting untuk dikekalkan, masih ada lagi beberapa dialek yang telah distandardisasikan dan selalunya dituturkan pada perjumpaan formal, seperti kata “dikelinga”, “awar galat” dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa pentingnya Dialek Melayu Brunei lama untuk terus dikekalkan hingga nanti.

Faktor ketiga berkenaan dengan arus kemodenan zaman. Faktor pemodenan juga memainkan peranan penting terhadap kurangnya penggunaan Dialek Melayu Brunei lama di kalangan belia. Akibat perkembangan zaman yang semakin pesat, masyarakat lebih terdedah dan terpengaruh dengan budaya Barat. Memanggil teman-teman dengan kata sis, bro, geng dan bos telah menjadi kebiasaan pada masa kini sehinggakan mereka berfikiran bahawa dialek Brunei ini sudah ketinggalan zaman, merupakan gaya lama dan tidak mampu menonjolkan kehebatan diri penutur.

Kehidupan dalam era modenisasi setentunya tidak lengkap tanpa adanya teknologi-teknologi canggih seperti telefon bimbit, komputer dan peralatan moden lainnya. Hasil dari kemuculan alatan canggih seperti telefon bimbit, ia banyak memberi kesan buruk terhadap pemuliharaan Dialek Melayu Brunei lama supaya ianya tidak pupus. Wujudnya singkatan-singkatan ayat dalam Sistem Pesanan Ringkas seperti “krg ku call blik” (13 huruf) untuk “nanti saya telefon semula” (22 huruf) merupakan suatu yang lazim supaya teks yang dihantar itu ringkas, mudah dan cepat untuk dibaca. Jika dibandingkan dengan pesanan yang dihantar dalam Dialek Melayu Brunei lama seperti “karang kediaku menalipun balik”, ia memerlukan masa yang agak panjang untuk mengetik sebanyak 27 huruf dalam pesanan tersebut. Akhirnya, belia lebih cenderung untuk memilih sistem campur kod antara bahasa Melayu dan Inggeris yang telah disingkatkan bagi memudahkan perhubungan semasa.

Selain dari itu, elemen media masa yang semakin berkembang mengikut peredaran zaman juga berperanan dalam menghakis butiran Dialek Melayu Brunei lama sedikit demi sedikit. Apa yang cuba diterangkan ialah memandangkan media masa umumnya berfungsi sebagai penyampai maklumat terhadap masyarakat umum, maka bahasa pengantar yang digunakan juga semestinya merupakan suatu bahasa yang boleh difahami oleh setiap audiens seperti bahasa Melayu Standard atau bahasa Inggeris. Dengan pemakaian bahasa yang lebih formal ini, ia dipercayai mampu menarik lebih ramai audiens jika dibandingkan dengan penggunaan Dialek Melayu Brunei lama sebagai bahasa pengantar.

Akibat dari pengaruh zaman moden ini, Dialek Melayu Brunei lama jarang sekali digunakan dalam pertuturan seharian hinggakan dialek ini boleh dikatakan hampir pupus di kalangan belia Brunei.


4.0     PENUTUP
Pada awal kajian, pengkaji ada menyatakan satu hipotesis bahawa penggunaan DMB lama itu berkurangan di kalangan belia. Sukar untuk menyatakan kebenaran sesuatu fakta itu tanpa melakukan kajian dan analisis. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan dapat disimpulkan bahawa majoriti bersetuju penggunaan dan pemahaman DMB lama di kalangan belia itu makin berkurangan.

Fakta ini dapat ditegaskan dengan tiga faktor utama iaitu kurang pendedahan dan penerapan, peningkatan taraf pendidikan dan faktor pemodenan. Oleh itu adalah penting dan harus menjadi kesedaran belia agar mengekalkan estetika DMB lama sebelum ia terhapus ditelan zaman. Kepentingannya adalah kerana ianya merupakan identiti kepada bangsa dan negara kita dan perlestarian kepada bahasa kita. 



RUJUKAN
Aini binti Haji Karim. (2009). Pemanfaatan Bahasa dan Sumber Peribumi dalam Pembangunan Sains dan Teknologi demi Kemajuan Bangsa Serumpun. A Multidisciplinary Journal, 9. Diperolehi dari     
http://www.ubd.edu.bn/academic/faculty/FASS/SEA/vol9/SEA-v9-aini.pdf


Hajah Dyg Fatimah binti Hj Awg Chuchu. (2005). Cabaran dan Identiti Fonetik dan Leksikon DMB-BMS dalam Seminar Antarabangsa Dialek-Dialek Austronesia di Nusantara II. 1-3 Oktober 2005.


Haji Jaludin bin Haji Chuchu (Dr.). Keperkasaan DMB: Realiti atau Khayalan. Himpunan Artikel-Artikel Brunei Darussalam. Edisi 2. Jilid 9. Disediakan oleh Daud Haji Abdul Samad. Perpustakaan UBD. HLm. 387-403.


Kamus Bahasa Melayu Brunei. Edisi 2. (2007). Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kamus Kata dan Ungkapan Am: Bahasa Melayu/ Bahasa Indonesia/ Bahasa Malaysia. (1994). Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kementerian Pendidikan. Apa Dia SPN21. Diperolehi dari http://www.moe.edu.bn/web/spn21/1


Peranan Dialek dalam Modenisasi Bahasa.(1972). Bahana. 7 (19), Julai-Sept 1972. Hlm. 1114-1116.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment